Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya dihadapkan ke mahkamah hari ini.Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.
Selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak, pagi Rabu lalu.
Dua pelajar Akademi Pengajian Islam itu juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.
Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan hakim Rosbiahanim Arifin.
Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang ini, kedua-dua pelajar itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang tadi.
Tiga suspek dicari
Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut yang enggan dikenali.
Polis sedang mencari tiga lagi suspek, termasuk presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Shazni Munir Mohd Ithnin.
Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).
Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar kini ditahan di penjara Sungai Buloh sementara menunggu diikat jamin RM5,000 setiap seorang esok.
Timbalan pendakwaraya Mazelan Jamaludin asalnya meminta jaminan RM10,000 seorang untuk semua pertuduhan, termasuk Seksyen 447 kanun yang sama atau kesalahan menceroboh.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum enam bulan penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.
No comments