SUNGGUHPUN sistem demokrasi moden hari ini adalah
daripada Tamadun Barat, tetapi hakikatnya ia banyak dipengaruhi oleh
sumber-sumber Islam. Malah, ruang demokrasi perlu dijadikan ruang dan
kesempatan untuk meluaskan dakwah kerana cirinya yang paling munasabah
dengan Islam. Begitu juga konsep Raja Berpelembagaan, ia diterima oleh
Islam selagi mana menunaikan amanah dan keadilan serta tidak melanggar
batas Islam.
Terang beliau, hubungan Barat dengan orang Islam
terjadi pada urusan perdagangan, semasa Perang Salib dan juga daripada
penjajahan oleh Barat, yakni mereka bukan sahaja bercampur dengan orang
Islam, bahkan turut mengambil kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama
Islam.
“Dalam aspek demokrasi, Barat hanya mengenal demokrasi
purba yang diamalkan di Athens sebelum Masihi. (Mereka) mengumpulkan
orang ramai di stadium untuk diadakan pungutan suara. Yang dikumpulkan
itu tidak termasuk hamba abdi, orang miskin, wanita. Hanya (melibatkan)
kalangan bangsawan sahaja.
“Mereka tidak tahu hendak
merealisasikan demokrasi dalam pemerintahan melainkan setelah mereka
mengkaji kitab-kitab fekah Islam. Sebelumnya, apabila mereka hendak buat
perubahan (kepemimpinan) mereka lancarkan revolusi,” ujarnya
menerangkan revolusi yang berlaku di England, Perancis, Russia dan
Amerika.
Malah katanya, tindakan tidak puas hati kepada kerajaan
telah membangkitkan kerahan rakyat untuk mengangkat senjata, membunuh
raja-raja dan para pendokongnya serta pelbagai dendam dan penggulingan
kuasa atas nama perubahan.
Hinggalah katanya, mereka mengkaji
kitab-kitab fekah Islam diantaranya mempelajari bahawa Islam menentang
diktator dan teokrasi dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada makhluk,
selain Islam mengecam raja zalim yang berlagak jadi tuhan sepertimana
Namrud dan Firaun.
Mereka juga terangnya, mempelajari bahawa
Islam memberi hak kepada rakyat dan rakyat berhak memberi nasihat kepada
pemimpin, berhak membela diri serta mengambil hak-hak dalam kehidupan,
ekonomi, pendidikan dan aspek lain-lain lagi.
Malah menurut Tuan
Guru, Barat telah mengambil pendekatan Rasulullah dan para Sahabat dalam
melantik Khalifah sebagai rujukan kepada demokrasi hari ini.
“Apabila
orang Barat mengkaji kitab fekah, maka terciptalah demokrasi moden yang
ada pada hari ini melalui pilihan raya dengan memilih wakil rakyat yang
disebut dalam kitab sebagai ahlul halli wal adli, iaitu orang yang
boleh menyelesaikan dan menghurai masalah. Ini pembaharuan dalam
demokrasi.
“Kita perlu menyedari bahawa demokrasi adalah teori
paling dekat dengan Islam, tetapi kita tidak boleh hanyut. Demokrasi
tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Tidak
boleh diputus di parlimen; siapa setuju judi halal, siapa setuju arak
halal. (Kalau) majoriti setuju (maka) jadi halal, ini tidak boleh! Hukum
Allah tidak boleh ganggu. Ini kita kena faham batas sempadan kita dalam
pemerintahan negara.
“Sebab itu tidak menjadi masalah kepada
kita (PAS) dengan (menerima) konsep demokrasi. Demokrasi pula memberi
hak kebebasan bersuara, ini kebebasan dakwah. Hak untuk berdakwah, hak
untuk mendidik, hak menyebarkan fikiran ini ialah pendekatan yang paling
munasabah dengan Islam. Dengan sebab itulah ulama kita mengambil
(menerima) pendekatan demokrasi,” hurai beliau memahamkan.
Menyentuh
mengenai konsep Raja Berperlembagaan katanya, Quran menyebut Nabi Daud
sebagai Khalifah, manakala Nabi Sulaiman, Zulkarnain, Firaun dan Namrud
sebagai Raja.
Tetapi jelasnya, Allah memberi penekanan utama adalah mengenai penunaian amanah dan adil.
“Sama
ada (dipanggil) Raja, Khalifah atau Presiden, (itu) mengikut
perkembangan tertentu. Yang penting konsep Raja Berpelembagaan ini
dipelihara dengan batas Islam. Tetapi Umno, dia tak pelihara dengan
batas Islam,” terangnya.
Beliau kemudian menghurai hadis Nabi SAW
mengenai kehendak Allah apabila mahukan kebaikan kepada seorang raja,
maka dikurniakan wazir yang baik. Sekiranya raja lupa, diperingatkan
oleh nazir itu dan dalam urusannya, raja sentiasa dibantu.
Tetapi
sekiranya Allah tetapkan keburukan seorang raja, akan bersamanya wazir
yang jahat. Apaila raja itu lupa akan dibiarkannya dan ketika raja itu
hendak melakukan kebaikan, tidak dibantunya.
“Konsep beraja tidak
masalah pada kita (PAS). Yang penting kita sediakan ahli mesyuarat,
penasihat yang baik, bukan penasihat untuk kepentingan kita. Di sinilah
ruang banyak yang boleh kita laksana jadikan perjalanan dalam negara
kita sebagai satu jalan yang perlu kita bijak sepenuhnya walaupun masih
banyak cabaran, masih banyak kelemahan yang kita boleh baiki,” ujarnya
meyakini keadaan itu.
Selain itu terangnya, Islam turut mengakui
sistem wilayah di mana di zaman Nabi SAW telah diutuskan para Sahabat
tertentu untuk menjadi Gabenor di wilayah pemerintahan Islam dan diberi
autonomi kecuali dalam hal yang besar perlu dirujuk pemerintahan pusat
iaitu Madinah.
Begitu juga jelasnya mengenai kehakiman dan
pegawai jentera pentadbiran kerajaan, di mana segala yang tidak selaras
dengan roh Islam akan dikeluarkan ketika Islam mengambil alih kerajaan
dan mementingkan individu-individu beriman.
PAS Tidak Sama Dengan Wilayatul Faqeh
Tuan
Guru menegaskan bahawa Perlembagaan PAS tidak sama dengan Wilayatul
Faqeh dalam Mazhab Syiah yang menjadi Perlembagaan kepada negara Iran.
Untuk
itu serunya, orang yang menyamakan PAS dengan konsep tersebut perlu
mendalami perbezaan sumber hukum Mazhab Sunni pegangan PAS berbanding
sumber hukum konsep Wilayatul Faqeh dalam Mazhab Syiah.
“Kita
catat dalam Perlembagaan PAS hukum tertinggi adalah al-Quran, Hadis,
qiyas dan ijmak ulama. Dan bagi memelihara keteguhan perlembagaan ini,
ditubuhkan Majlis Syura Ulama supaya semua perkara yang diputuskan PAS
tidak bercanggah dengan hukum tertinggi (tersebut).
“Konsep ini
tidak sama dengan Wilayatul Faqeh. Ada orang nak samakan kita dengan
Wilayatul Faqeh. Ia pandangan Mazhab Syiah dan hukum tertinggi dalam
Mazhab Syiah ialah al-Quran, Hadis dan pandangan Imam Ahli Bayt. Qiyas
tidak ada, ijmak tidak ada, mereka menolak. Ini beza Perlembagaan PAS
dengan perlembagaan negara Iran (iaitu) Wilayatul Faqeh.
“Perlu
diketahui bahawa di sana ada konsep yang sama, ada konsep berbeza. Ada
perkara yang sama antara kita dengan mazhab-mazhab lain, ada perkara
yang berbeza. Dalam hal ini ada perkara yang perlu kita mengambil
pengajaran, ada perkara yang perlu kita tolak. Di sana ada asas yang
kukuh yang kita menolak fahaman-fahaman lain. Yang dari Ahlus Sunnah Wal
Jamaah adalah al-Quran, Hadis, qiyas dan ijmak ulama,” ujarnya.
Beliau
juga menegaskan bahawa PAS membebaskan diri daripada belengu penjajah
yang telahpun meninggalkan Tanah Melayu dengan mengorak langkah sebagai
sebuah Parti Islam iaitu meletakkan sumber hukum Islam sebagai rujukan
tertinggi dalam Perlembagaan PAS.
Jasa PAS Letak Islam Dalam Perlembagaan Negara
PAS
dan badan-badan Islam yang bersamanya ketika berjuang menuntut
kemerdekaan Tanah Melayu telah berperanan mendesak Suruhanjaya Reid
untuk meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ujar
Tuan Guru, kajian ahli sejarah mendapati Suruhanjaya Reid tidak
memasukkan kedudukan Islam ketika mengadakan draf kerangka awal
Perlembagaan Tanah Melayu.
Bagaimanapun katanya, daripada usaha
PAS dan badan-badan Islam lain akhirnya berjaya meletakkan Islam sebagai
Agama Persekutuan setelah Suruhanjaya Reid didesak untuk akur kepada
Perjanjian Pangkor dan beberapa perjanjian lain yang pernah dimeterai
British iaitu memberi hak bidang agama Islam kepada Raja-raja Melayu.
Pun
begitu jelas Tuan Guru, Islam dalam Perlembagaan itu menurut penafsiran
suruhanjaya tersebut adalah ‘agama’ di mana memiliki bidang kuasa yang
terhad.
“Apabila kita telah capai kemerdekaan, sepatutnya kita
bukan sahaja merdeka dari segi orang putih (British) balik ke negeri
mereka. Sepatutnya kita merdeka juga dari segi fikiran dan diri kita
daripada belengu kefahaman penjajahan. Adalah tanggung jawab kita
mentafsir Islam dalam perlembagaan itu dengan ‘ad-din’ (cara hidup)
kalau kita sungguh merdeka.
“Malangnya Umno yang menjadi tulang
belakang pemerintahan negara khianat terhadap amanah Islam ini. Mereka
lupa betapa negara dalam ajaran Islam adalah amanah yang sangat besar.
Umno tidak tunai amanah ini walaupun penjajah sudah keluar dari tanah
air kita,” ujarnya.
Jelas Tuan Guru, perlembagaan negara haruslah
mengambil panduan sebagaimana dilakukan Nabi SAW melalui Sahifah
Madinah yang melibatkan perjanjian dengan semua pihak dalam negara serta
menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar rujukannya.
Malah
menurut beliau, ramai pakar undang-undang antaranya Almarhum Profesor
Ahmad Ibrahim pernah menyatakan bahawa, Perlembagaan Malaysia sebenarnya
mudah diubah kepada acuan Islam iaitu peruntukan dalam perlembagaan
boleh dipinda dengan membatalkan peraturan yang bercanggah dengan Islam
sekali gus meletakkan Islam sebagai hukum tertinggi.
Terdahulu
dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa soal kenegaraan atau politik
yang juga disebut ‘daulah’ itu adalah sebahagian ajaran Islam; iaitu
pemisahannya daripada agama adalah satu penyelewengan dan kesesatan
seperti pernah terjadi kepada masyarakat Kristian di Barat meninggalkan
ajaran Taurat dan Injil.
Jelasnya juga, dalam membicarakan soal demokrasi, Islam tidak boleh ditakrifkan sebagai agama atau perkataan seertinya.
“Islam
adalah ajaran yang menyeluruh merangkumi segala aspek fitrah manusia
dalam hubungan dengan Allah, dirinya, masyarakat sesama manusia dan
dengan makhluk lain dicipta Allah SWT, mengikut bidang dan ruang yang
mesti dilaksanakan oleh manusia yang merupakan satu dari makhluk Allah.
“Sepertimana
matahari, bulan dan bintang-bintang cakerawala di langit tidak boleh
terkeluar daripada sempadan kukuh ditetap Allah, begitulah makhluk lain
mestilah mengikut peraturan Allah secara Islam dengan makna menyerah
diri kepada Allah dan khusus bagi manusia melakukan ibadah, berkhilafah
dan beramanah.
“Melakukan menyembah Allah tunduk kepada peraturan
Allah secara ‘ubudiyah’, secara hamba, bukan sebagai rakyat terhadap
kerajaan. Melaksanakan kewajipan memakmurkan bumi dan melaksanakan
syariat Allah sebagai satu amanah sangat besar,” ujarnya memperinci
penerangan.
Masyarakat Majmuk Bukan Halangan Menegakkan Islam
Masyarakat
majmuk hakikatnya adalah tabii kepada mesej Islam yang dibawa Nabi
Muhammad SAW kerana Allah SWT mengutuskan Islam bukan hanya untuk bangsa
tertentu sahaja, tetapi untuk seluruh manusia dan dunia ini.
“Ini
mesej Nabi SAW. Kerana itulah ketika Nabi menegakkan negara di Madinah,
Nabi mengambil berbagai kaum walaupun secara simbolik tidak ramai
seperti Bilal al-Habsyi, Shuib ar-Rumi, Salman al-Farisi. Digabungkan
dalam masyarakat Islam walaupun seorang, tetapi simbol ini jadi
kenyataan,” ujarnya.
Beliau menyatakan sedemikian sebagai menolak
pandangan bahawa Islam tidak dapat dilaksanakan dalam masyarakat majmuk
di negara ini yang wujud hasil dari adunan pelbagai kaum oleh British
semasa zaman penjajahan dahulu.
Terang beliau, semasa negara
Islam berkembang zaman Khulafak ar-Rasyidin, kaum dari berbagai-bagai
latar agama asal mereka; sama ada kemudiannya telah menerima Islam
sebagai anutan atau tidak, mereka itu hidup dalam keadaan menerima
pemerintahan Islam yang adil untuk semua.
Menurutnya, Islam
diamalkan dalam masa berabad-abad di dalam wilayah paling luas; di
Timur: Alam Melayu hingga Benua India; di Barat: Sepanyol hingga Pantai
Barat Afrika; di Utara: Asia Tengah termasuk Moscow hingga ke Selatan:
Afrika Tengah.
“Zaman tiada kapal terbang, tiada perhubungan,
tiada telefon, (mengambil) jarak perjalanan berbulan-bulan (untuk
sampai), tetapi cepat Islam boleh memerintah,” ujarnya.
Jelasnya,
bukanlah Islam datang untuk memaksa manusia terima perundangan dan
menjalankan hukum atas manusia, tetapi hal yang penting adalah kesan
rahmat keadilan Islam kepada seluruh manusia.
Terang beliau,
apabila masyarakat majmuk majoriti terima Islam dan budaya Islam,
masyarakat bukan Arab di Mesir, Sudan, Libya, Algeria, Syria, Iraq dan
lain-lain telah mengaku mereka sebagai orang Arab dan bercakap dalam
bahasa Arab.
Ceritanya, budaya Islam telah menjadikan mereka itu menggunakan bahasa al-Quran menjadikan bersatu adat dan suasana mereka.
Dalam
masa sama menurut Tuan Guru, masih wujud orang-orang bukan Islam
beribadat di gereja yang dibina sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad
sebagaimana di Mesir dan orang Majusi penyembah api di Iran di mana
masih ada ada rumah ibadah yang dibina sebelum kelahiran Nabi Isa.
“Menandakan
mereka tidak dipaksa menganut agama Islam. Menandakan bagaimana Islam
mengurus masyarakat majmuk dan telah berjaya menyampaikan mesej dakwah.
Dengan makna hidup secara masyarakat madani, masyarakat bertamadun,
bertukar kebolehan, pendapat, maklumat dan kehidupan. Meraikan dan ada
batas sempadan yang membeza antara satu sama lain dan tidak melampau
satu sama lain,” ujarnya.
Tuan Guru turut mengaitkan suasana itu
dengan Madinah sebagai Negara Islam yang ditadbir Rasulullah di mana
pembinaan masjid dan pasar telah menghubungkan Baginda dengan seluruh
masyarakat majmuk serta pelbagai muamalah mereka sehingga madinah
menjadi kota metropolitan di rantau itu.
Islam Dan Hubungan Dengan Non-Muslim
Islam mempunyai pelbagai pendekatan dalam berhubungan dengan pihak atau masyarakat bukan Islam.
Tuan
Guru menyatakan bahawa, ulama menyenaraikan lapan pendekatan untuk
berhubung dengan bukan Islam iaitu tahaluf, zimmah mu‘ahadah, sulh,
muwada‘ah, himayah, ta‘awun dan istianah.
Tahaluf terangnya,
ialah mengadakan persefahaman bersama pihak bukan Islam dalam titik
persamaan dengan mereka seperti menentang kezaliman, penyelewengan dan
menghadapi pihak pelampau di mana hubungan ini dilakukan dalam
batas-batas tertentu.
Pendekatan zimmah katanya, ialah orang
bukan Islam yang terima Islam sebagai konsep negara dan sanggup menjadi
rakyat serta menghormati undang-undang Islam yakni hudud dan qisas.
Manakala
pendekatan mu‘ahadah ujar Tuan Guru, adalah hubungan negara yang
bersedia untuk ada mengadakan perjanjian dengan Kerajaan atau Negara
Islam.
“Digalakkan kita mengadakan hubungan dengan semua negara
yang ada dalam dunia dan kita perlu mengiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) yang ada pada hari ini. Walaupun banyak perkara kita
tidak setuju, tetapi ada beberapa perjanjian yang dimeteraikan di bawah
payung PBB sebenarnya mengambil daripada al-Quran dan daripada
kitab-kitab fekah Islam.
“Mereka menemui jalan buntu untuk
mewujudkan peraturan antarabangsa melainkan setelah orientalis
melaporkan untuk diambil dari sumber Islam,” terang beliau.
Melanjutkan pembentangan, sulh pula jelasnya ialah berdamai dengan negara yang menjadi musuh perang dalam tempoh tertentu.
Dalam
masa perdamaian itu katanya, dihilangkan ketengangan hingga mengizinkan
rakyat negara itu untuk mengetahui mengenai Islam dan mengizinkan
rakyat Negara Islam menyampaikan kepada rakyat negara itu mengenai
Islam.
Sementara muwada‘ah hurai Tuan Guru, adalah gencatan senjata sementara waktu yang diizinkan oleh syarak.
Himayah
pula katanya, adalah meminta perlindungan dari musuh yang baik
sepertimana Nabi mendapat himayah dari Abu Talib serta menyuruh para
Sahabat ke Habsyah untuk dapat perlindungan daripada rajanya.
Ta‘awun pula ujarnya, adalah bertolongan dalam perkara baik dengan pihak lain yang diizinkan oleh syarak.
“Istianah
adalah meminta pertolongan ketika kita dalam keadaan lemah. Dia
berperang bermusuh sesama dia. Dia nak cari kawan, kita boleh kawan
dengan dia untuk lawan musuh dia,” terang Tuan Guru yang menegaskan
semua hubungan itu mestilah dengan syarat tidak menggadai prinsip dan
matlamat.
Tambah Ustaz Abdul Hadi, Nabi SAW mengadakan semua muamalah tersebut dan tidak bergantung dengan satu hubungan sahaja.
“Cara
ini banyak cabang, jangan masuk satu pintu sahaja. Macam kita hari ini
sekadar tahaluf, jumud dengan tahaluf sahaja. Tidak bergerak, tidak
dikaji kemajuan, sejauh mana kekurangannya, sejauh mana boleh dibaiki,
tidak dikaji.
“Yang malangnya ada nak mati dengan tahaluf, itu
lagi malang. Di mana dasar kita, di mana prinsip kita? Allah
mengingatkan kita supaya sentiasa beristiqamah dengan Islam dalam semua
keadaan,” ujarnya memberi peringatan.
Menurut Tuan Guru juga,
dalam hubungan antarabangsa, Islam membenarkan hubungan dagang dengan
rakyat dari negara yang tiada hubungan diplomatik.
Terangnya,
rakyat dari negara itu boleh diberikan visa untuk melakukan hubungan
dagang atas kehendaknya sendiri dalam tempoh tertentu.
“Apabila
mereka lihat keamananan, keadilan di negeri kita dan akhlak orang Islam,
mereka balik ke negeri mereka menyampaikan maklumat kepada penduduk
negeri mereka, menyebabkan mesej Islam berkembang dengan hubungan begini
rupa. Inilah cara menangani masyarakat bukan Islam dengan cara baik dan
tidak menjadi masalah kepada kita (berhubung dengan mereka),” ujarnya
memahamkan tujuan hubungan itu.
Tulisan di atas ialah intipati yang disampaikan Presiden
PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Liqa’ Fikri PAS Pusat
bertemakan “Perjuangan Islam Dalam Negara Demokrasi: Harapan dan
Cabaran” di Seri Kembangan, Serdang pada 13 Disember lalu. - Dicatat
oleh Izwan Abdul Halim
No comments